Searching...

Popular Posts

Friday, October 31, 2014

Info: Belai Suami Demi Zuriat

8:25 PM
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Kuala Lumpur: Isteri perlu sentiasa membelai dan memberikan kata-kata pujian kepada suami dalam memujuknya berjumpa doktor sekiranya pasangan berdepan masalah kesuburan.

Pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, kebiasaannya suami akan berubah hati dengan cara itu selepas merasakan isteri benar-benar menghormatinya. “Lelaki perlu dibelai. Dalam apa jua situasi atau masalah rumah tangga, hati suami lebih mudah terbuka dan bersedia untuk berjumpa doktor apabila dipuji dan dihormati oleh isteri. “Isteri kena pandai pujuk. 

Banyakkan kata-kata pujian seperti abang sudah hebat dalam semua perkara, banyak membantu isteri dalam mengurus keluarga. “Cuma katakan pada suami, jika ada masalah, jangan segan untuk mendapatkan bantuan pakar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam. Dr Mohd Fadzilah berkata, isteri boleh mempraktikkan membaca tiga nama Allah, Ya Aziz, Ya Jabbar dan Ya Mutakabbir dalam doa untuk memohon supaya dilembutkan hati suami. “Jika suami berada di tempat jauh, boleh hembus selepas berdoa. 

Jika dekat, boleh berdehem. Ini ilmu yang saya dapat daripada ulama Mesir dan saya kongsikan dengan ratusan ribu wanita. Insya-Allah hati suami akan lembut,” katanya. Selain itu katanya, satu lagi tip yang boleh diamalkan adalah menggunakan perantara iaitu ibu atau bapa kepada suami. “Ramai lelaki tercabar jika isteri membangkitkan masalah kelamin. Tetapi tidak jika ibu atau bapanya yang menegur. Bagaimanapun, isteri perlu gunakan ayat dan cara yang betul bagi tujuan ini,” katanya.

Dr Mohd Fadzilah berkata, isteri juga boleh menghubungi pakar sakit tuan tertentu dan meminta untuk bercakap dengan suami supaya pasangan tidak merasakan hanya dirinya yang mempunyai masalah berkaitan sakit tuan. Pada masa sama, beliau menasihatkan isteri supaya tidak memperbesar-besarkan perkara itu sehingga suami berasa kecil hati sekali gus menolak untuk mendapatkan bantuan pakar. 

“Tindakan lelaki yang malu untuk mengakui mempunyai masalah seperti mati pucuk dan ejakulasi pramatang enggan membincangkan masalah itu adalah normal. “Ini memandangkan sebarang perkara yang berkaitan dengan hubungan kelamin mencabar maruah dan ego lelaki,” katanya. 

Muka depan Metro Ahad semalam melaporkan tindakan ramai wanita yang terpaksa membuat temu janji dengan pakar sakit tuan bagi pihak suami, dan kalau ada pun lelaki bertemu doktor kebanyakannya atas paksaan isteri. Perkara itu didedahkan pakar sakit tuan, Dr Mohd Ismail Mohd Tambi dan Perunding Urologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof Dr Zulkifli Md Zainuddin. Ia antara lain disebabkan ego, malu dan mengambil ringan masalah berkaitan alat kelamin sehingga menimbulkan masalah dalam rumah tangga sehingga menyebabkan perceraian.


0 comments:

Post a Comment