Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
TERSENYUM penulis membaca berita mengenai empat kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun yang cabut lari ketika majlis berkhatan beramai-ramai di Sekolah Agama Kampung Senibong, Johor Bahru, pada pertengahan bulan lalu dengan alasan mahu ke tandas kerana gerun dengan pisau Tok Mudim.
Bagi kanak-kanak lelaki Muslim, berkhatan adalah detik penting dalam hidup mereka - yang menandakan bermulalah era sebagai ‘kanak-kanak besar’. Di negara kita, kebanyakan kanak-kanak lelaki dikhatankan apabila memasuki usia antara tujuh hingga 12 tahun. Di lain negara terutama di Barat dan Eropah, amalan ini dilakukan ketika bayi sehari selepas dilahirkan.
Berkhatan tidak hanya dilakukan oleh orang Islam tetapi turut diamalkan sesetengah penganut Kristian Ortodoks di Afrika. Ia adalah antara prosedur pembedahan tertua di dunia yang dilakukan atas tuntutan agama, budaya atau resam keluarga. Kini lebih ramai (termasuk lelaki dewasa) yang berkhatan atas dasar kesihatan.
Pada 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Program HIV/AIDS Bersama Bangsa-bangsa Bersatu dan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) mendapati berkhatan dapat mengurangkan risiko jangkitan virus HIV.
Ia mungkin disebabkan kulit penghujung zakar lelaki berkhatan lebih tebal berbanding lelaki tidak berkhatan dan ia dapat mengurangkan kemungkinan kulit melecet atau tercedera ketika melakukan hubungan seks. Bagaimanapun perlu diingat, lelaki berkhatan tetap mempunyai peluang tinggi dijangkiti virus HIV atau virus penyakit kelamin yang lain jika mengadakan hubungan seks dengan pasangan yang ada virus berkenaan.
Umur ketika berkhatan boleh dibahagikan kepada tiga: ketika neonatal (umur kurang sebulan); bayi (satu hingga 11 bulan) dan kanak-kanak (satu hingga 12 tahun). Khatan ke atas neonatal dan bayi diamalkan di Afrika Barat, Israel, negara Arab dan Amerika Syarikat; manakala di kebanyakan negara lain ia hanya dilakukan pada kanak-kanak yang lebih berusia.
Berdasarkan laporan WHO, dianggarkan satu daripada tiga (30 peratus) lelaki di dunia berkhatan dan 68 peratus daripada mereka adalah Muslim. Di Amerika Syarikat, kira-kira 55 hingga 65 peratus bayi lelaki dikhatankan setiap tahun. Apa yang menarik, amalan ini sudah merebak ke Kanada, Amerika Latin, Eropah, Australia, Filipina dan Korea Selatan.
Berkhatan selepas bayi dilahirkan dapat mengurangkan kesakitan kerana kesakitan hanya dirasai selepas berusia sebulan. Luka berkhatan pada bayi lebih cepat sembuh; malah penjagaannya juga lebih mudah kerana ketika ini bayi tidak banyak bergerak.
Bagaimanapun, bukan semua bayi lelaki boleh dikhatankan sehari selepas dilahirkan kerana ada yang mengalami masalah struktur pada zakar dan perlu dirawat terlebih dulu. Malah berkhatan juga dikecualikan bagi pesakit hemofilia (yang cepat mengalami pendarahan akibat kekurangan faktor pembekuan darah). Bagi pesakit hemofilia yang mahu berkhatan, mereka dikehendaki mengambil ubat seperti arahan doktor selama beberapa minggu sebelum dibenarkan menjalani prosedur itu.
Kebaikan berkhatan sudah banyak dibincangkan. Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thambi pernah menulis mengenai kebaikan berkhatan antaranya ialah untuk menjaga kebersihan seperti yang dituntut dalam Islam. Berkhatan membabitkan pemotongan penghujung kulit kulup zakar atau kulit yang menutup penghujung zakar.
Berkhatan untuk perempuan (dilakukan ketika bayi) pula membabitkan pemotongan kelentit atau bibir kecil dan keseluruhan bibir besar.
Membersihkan zakar kanak-kanak kecil mudah kerana ia boleh dicuci saja. Bagaimanapun, menurut risalah pendidikan Persatuan Pediatrik Amerika, apabila mencecah umur baligh, bagi remaja yang tidak berkhatan, kulit kulup ini perlu ditarik ke belakang (supaya mendedahkan hujung zakar) untuk dibersihkan setiap hari. Ini kerana di celah kulit inilah terkumpulnya sel mati dan kekotoran.
Pakar perubatan berpendapat kulit kulup inilah yang mungkin menjadi punca kepada jangkitan saluran kencing sehingga menyebabkan keradangan. Berkhatan adalah cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan ini terutama bagi kanak-kanak lelaki yang mempunyai masalah buah pinggang.
Malah pakar perubatan juga melihat berkhatan baik atas alasan kesihatan lain seperti: refluks vesikouterus (aliran balik air kencing dari pundi kencing ke dalam rahim bagi kanak-kanak perempuan akibat kerosakan injap buah pinggang), jangkitan buah pinggang atau pundi kencing atau keradangan kulit kulup zakar.
Kajian mendapati di kalangan kanak-kanak lelaki yang berkhatan, masalah jangkitan saluran kencing lebih rendah berbanding kanak-kanak tidak berkhatan. Masalah zakar seperti ke radangan, kerengsaan dan jangkitan sangat kerap berlaku di kalangan lelaki tidak berkhatan.
0 comments:
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.